Academia Fiesta@USM 2025
Pensyarah dan Pelajar USM Kampus Kejuruteraan Rai Kejayaan di Academia Fiesta@USM> 2025 – Inovasi “Enhancing Chinese Language Literacy Skills Among Non-Native Students at the Beginner Level Using the GATT and WSD Method” Menang Anugerah Perak.
USM KAMPUS KEJURUTERAAN, 29 Oktober 2025 – Satu lagi kejayaan membanggakan buat Universiti Sains Malaysia (USM) apabila inovasi pengajaran dan pembelajaran bertajuk “Enhancing Chinese Language Literacy Skills Among Non-Native Students at the Beginner Level Using the ‘Grouping-Arranging-Translating-Touch Up (GATT)’ and ‘Word Sequence Diagram (WSD)’ Method” berjaya meraih Anugerah Perak (Silver Award) dalam pertandingan Academia Fiesta@USM 2025.
Pautan Inovasi:https://youtu.be/Kbftj549n-c?si=qxjtnguShdiTOnNv

Gambar 1: (Dari kiri) Lee Seow Kuan, Pn. Khor Gek Suan, Shanggamithara A/P Parameswaran dan Ng Mun Kit semasa Academia Fiesta@USM 2025 yang menyaksikan inovasi mereka memenangi Anugerah Perak (Silver Award).
Inovasi ini menonjolkan pendekatan kreatif sebagai usaha memperkukuh kemahiran literasi bahasa Mandarin dalam kalangan pelajar bukan penutur jati pada peringkat asas. Kaedah GATT dan WSD dibangunkan bagi membantu pelajar memahami struktur ayat serta memperkaya perbendaharaan kata Mandarin dengan lebih mudah, interaktif dan berkesan.
Menurut penyelaras projek, Pn. Khor Gek Suan, Pensyarah Bahasa Cina di Kampus Kejuruteraan USM, pendekatan ini menekankan gabungan strategi pengelompokan, penyusunan dan penterjemahan perkataan yang disusuli dengan aktiviti penghalusan (touch up) untuk memperkukuh ingatan pelajar terhadap kosa kata dan struktur tatabahasa Mandarin.

“Kaedah ini membolehkan pelajar bukan penutur jati memahami struktur ayat Mandarin dengan lebih jelas dan cepat. Pendekatan berasaskan visual seperti Word Sequence Diagram pula menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif serta menggalakkan pembelajaran kendiri,” ujar beliau.
Inovasi ini turut menampilkan hasil kolaborasi antara tenaga pengajar dan pelajar dari Kampus Kejuruteraan USM yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Mandarin. Inovasi ini dibangunkan melalui hasil pemerhatian terhadap cabaran sebenar pelajar yang mempelajari bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga, khususnya di peringkat asas.
Pertandingan Academia Fiesta@USM 2025 merupakan platform tahunan anjuran USM bagi meraikan kecemerlangan dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan pengajaran.Anugerah ini mengiktiraf sumbangan staf akademik dan pelajar dalam memperkenalkan pendekatan inovatif yang berimpak tinggi terhadap pengalaman pembelajaran.Dalam pada itu, kejayaan yang dikecapi ini juga bukan sahaja mengiktiraf usaha gigih pasukan inovasi tersebut, tetapi hal ini juga mencerminkan komitmen USM bagi memperkukuh budaya inovasi serta memperkasa pendidikan bahasa asing dalam kalangan komuniti kampus.
Dengan pencapaian ini, diharapkan inovasi GATT dan WSD akan terus dikembangkan untuk dimanfaatkan secara lebih meluas, bukan sahaja dalam kursus bahasa Mandarin di USM, tetapi juga sebagai rujukan kepada institusi lain yang ingin memperkukuh pengajaran bahasa kedua atau ketiga secara efektif dan menyeronokkan.
Pasukan Inovasi:
1. Khor Gek Suan
Pensyarah Bahasa Cina
Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan
2. Shanggamithara A/P Parameswaran (164145)
Pelajar tahun 4
Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa
3. LEE SEOW KUAN (22302360)
Pelajar tahun 3
Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
4. NG MUN KIT (161698)
Pelajar tahun 4
Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik