Skip to main content

Pusat Pengajian Bahasa, Literasi & Terjemahan | Kampus Kejuruteraan 

Mantap Bahasa Cemerlang Kerja

KAMPUS KEJURUTERAAN TUANKU SYED SIRAJUDDIN, 15 MEI 2026 — Guru Bahasa dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) Universiti Sains Malaysia (USM), Puan Aida Shuhaida binti Mustafa, tampil mengendalikan program latihan khas bertajuk "MANTAP BAHASA, CEMERLANG KERJA" yang disasarkan khusus kepada seluruh warga staf Jabatan Pendaftar, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.

Dalam sesi latihan yang berlangsung pada Khamis, 14 Mei lalu di Bilik Mesyuarat Pejabat Pengarah, Puan Aida Shuhaida yang berkepakaran sebagai Guru Bahasa DG12 telah menyampaikan ceramah berasaskan kepakaran beliau untuk memantapkan penggunaan bahasa dalam penulisan rasmi, mutu komunikasi, serta pengetahuan tatabahasanya bagi menyokong kecekapan perkhidmatan pentadbiran universiti.

Beliau menekankan pentingnya penguasaan bahasa yang tepat dan berkesan sebagai teras kecemerlangan tugas harian staf Jabatan Pendaftar. Sepanjang program tiga jam bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu, para peserta diberikan pendedahan praktikal serta panduan khusus bagi meningkatkan keyakinan dan kualiti penulisan dokumen rasmi.

Penganjuran program yang sarat dengan pengisian berharga daripada Puan Aida Shuhaida ini turut menawarkan markah pengiktirafan Continuous Professional Development (CPD) kepada semua peserta, di samping itu staf yang terlibat juga disajikan sarapan pagi dan makan tengah hari oleh pihak penganjur. Kepakaran dan bimbingan yang disampaikan oleh beliau diharapkan dapat menyemarakkan lagi iltizam staf dalam memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi melalui penguasaan bahasa Melayu yang mantap.