“Nanyang” Cultural Heritage and Multiracial Harmony Highlighted Through “Sailing into Southern Seas” Programme
17 Mei 2026 - Bahagian Bahasa Asing, Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin telah berjaya menganjurkan program “Nanyang” Cultural Heritage and Multiracial Harmony Highlighted Through “Sailing into Southern Seas” dengan kerjasama Persatuan Bahasa Tionghua, sebagai platform untuk memupuk penghayatan terhadap warisan budaya Nanyang serta memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Program yang diketuai oleh Dr. Khor Gek Suan ini mengetengahkan keunikan budaya Nanyang yang lahir daripada pertembungan dan asimilasi budaya masyarakat Cina dengan masyarakat tempatan di Asia Tenggara. Melalui pelbagai aktiviti dan pameran, para peserta berpeluang mengenali sejarah penghijrahan, bahasa, makanan, adat resam dan gaya hidup yang membentuk identiti masyarakat majmuk di Malaysia.
Selain meningkatkan kefahaman terhadap warisan budaya, program ini turut menyampaikan mesej bahawa kepelbagaian budaya merupakan aset yang mampu menyatukan masyarakat melalui sikap saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain. Inisiatif seperti ini juga memberikan peluang kepada generasi muda untuk lebih mengenali akar budaya serta memperkukuh semangat perpaduan dalam komuniti kampus.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Dr. Khor Gek Suan, jawatankuasa penganjur, Persatuan Bahasa Tionghua serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini. Semoga usaha memartabatkan warisan budaya dan memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum akan terus diperkasakan pada masa hadapan.











