Skip to main content

Pusat Pengajian Bahasa, Literasi & Terjemahan | Kampus Kejuruteraan 

Pengajaran dan Pembelajaran Pada Era Digital 2026

PPBLT Kampus Kejuruteraan TUANKU SYED SIRAJUDDIN MENGAnjurkan Dua Sesi Perkongsian Ilmu bagi MemperkasaKAN Amalan Pengajaran dan Pembelajaran PADA Era Digital

5 Februari 2026 – Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) telah berjaya menganjurkan dua sesi perkongsian profesional yang memberikan tumpuan kepada pelajar dalam usaha pemerkasaan amalan pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan tinggi.

Sesi pertama bertajuk “Beyond the Blueprint: Nurturing the Writer Within the Engineer” telah disampaikan oleh Dr. Agnes Shanti Joseph. Perkongsian ini memfokuskan kepentingan pembangunan kompetensi penulisan dalam kalangan mahasiswa kejuruteraan sebagai pelengkap kepada penguasaan kemahiran teknikal.

                                            

Dalam sesi tersebut, Dr. Agnes menekankan bahawa keupayaan menulis secara jelas, kritis dan meyakinkan merupakan satu kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh graduan bagi memenuhi tuntutan dunia akademik dan profesional yang semakin kompleks serta bersifat global. Beliau turut menggalakkan para pendidik untuk melihat penulisan bukan sekadar sebagai keperluan bahasa, tetapi sebagai medium penting dalam pembinaan ilmu, kolaborasi profesional dan pembelajaran sepanjang hayat.

Sesi kedua bertajuk “NOTEBOOKLM: Co-Creating Sustainable Teaching and Learning for Impactful Classrooms” telah disampaikan oleh Puan Suzila Mohd Shukor. Sesi ini mengetengahkan potensi penggunaan NotebookLM, sebuah platform pembelajaran dan pengurusan pengetahuan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dalam usaha menyokong amalan pengajaran yang lebih inovatif, lestari dan berpusatkan pelajar.

                                                          

Melalui perkongsian tersebut, para peserta diperkenalkan dengan pelbagai fungsi NotebookLM yang dapat dimanfaatkan untuk merancang pengajaran, menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran, menyediakan pentaksiran serta menghasilkan aktiviti pembelajaran yang lebih interaktif dan responsif mengikut keperluan pelajar pada era ini. Demonstrasi secara langsung dan contoh aplikasi dalam konteks bilik darjah turut membantu peserta memahami potensi teknologi AI dalam usaha meningkatkan keberkesanan pengajaran serta menggalakkan pembelajaran aktif dan pemikiran kritis.

Penganjuran kedua-dua sesi ini mencerminkan komitmen berterusan PPBLT KKTSS untuk memperkukuh budaya perkongsian ilmu serta meneroka pendekatan pedagogi yang inovatif bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi.